5 Pemain Afrika Terbaik Dalam Sejarah Premier League | Cyberlynx

5 Pemain Afrika Terbaik Dalam Sejarah Premier League

Pemain Afrika

Dari tahun ke tahun, benua Afrika telah menghasilkan ramai pemain-pemain berkualiti yang mewarnai dunia bola sepak.

Hadir dari pelbagai negara dari benua tersebut, pemain-pemain Afrika berjaya mempamer persembahan yang cemerlang dan menarik perhatian kita semua dengan aksi mereka.

Di Premier League (PL), terdapat ramai pemain Afrika yang beraksi malah menjadi legenda kepada kelab yang diwakili mereka.

Oleh itu, jom kita berkenalan dengan lima pemain Afrika terbaik yang beraksi di Premier League.

Riyad Mahrez (Algeria)

Tiada siapa yang menyangka, Riyad Mahrez mampu menggoncang bola sepak Inggeris pada mulanya terutamanya ketika mewakili Leicester City.

Namun begitu, persembahan cemerlang beliau ada musim 2015/2016 bersama-sama The Foxes telah membuatkan ramai jatuh cinta dengannya.

Gandingan mantap beliau bersama-sama Jamie Vardy membuatkan Leicester berjaya mengatasi segala rintangan untuk bergelar juara Premier League pada musim tersebut.

Kini bersama-sama Manchester City, Mahrez kekal sebagai pemain yang cukup menghiburkan untuk ditonton setiap kali beraksi di atas padang.

Kolo Toure (Ivory Coast)

Kolo Toure mungkin bukanlah pemain pertahanan tengah yang terhandal di dunia tetapi beliau pastinya adalah sebahagian daripada skuad Arsenal yang cukup bersejarah.

Ketika era gemilang Arsenal di Highbury, Toure menjadi sebahagian daripada skuad The Invincibles yang mencatatkan sifar kekalahan dalam saingan liga pada musim 2003/2004.

Bergandingan mantap dengan Sol Campbell di pertahanan tengah, Toure juga bersama-sama seorang lagi pemain dari benua Afrika iaitu Lauren yang menjadi nadi di bahagian pertahanan The Gunners.

Lebih menarik, Toure bukan sahaja menjadi Invincibles di England malah beliau turut melakukan yang sama di Scotland bersama-sama Celtic pada musim 2016/2017.

Mohamed Salah (Mesir)

Ia memerlukan percubaan sebanyak dua kali sebelum Mohamed Salah menjadi jaguh di England.

Percubaan pertama beliau bersama-sama Chelsea tidak menjadi dan ini memaksa dirinya membawa diri ke Itali untuk meningkatkan permainannya.

Kembali semula bersama Liverpool, ramai yang mempersoal sama ada mampukah Salah melakukannya bersama The Reds.

Jawapannya adalah ya! Musim pertama Salah bersama-sama Liverpool menyaksikan beliau menjaringkan 44 gol dalam semua kejohanan.

Salah juga merupakan salah sebuah daripada trio pemenang kasut emas pada musim 2018/2019 apabila menjaringkan 22 gol bersama-sama dengan Sadio Mane dan Pierre-Emerick Aubameyang (kesemuanya berasal dari Afrika!)

Ketajaman Salah di depan gol jelas memberikan hasil kepada Liverpool apabila mereka berjaya merangkul gelaran Eropah keenam dan kejuaraan liga yang pertama dalam 30 tahun.

Yaya Toure (Ivory Coast)

Nasibnya mungkin tidaklah begitu baik ketika berada di Barcelona, namun apabila Manchester City datang memanggil disitulah sinar mula muncul.

Yaya Toure menjadi nadi penting di era kebangkitan City pada 2010-an. Dominasi beliau di bahagian tengah jelas sekali menjadi igauan setiap lawan yang menentangnya.

Beliau melakukan 316 penampilan sambil menjaringkan 79 gol dan 50 bantuan gol.

Persembahan cemerlang itu turut diikuti dengan tiga gelaran PL, tiga gelaran English League Cup dan satu gelaran FA Cup.

Didier Drogba (Chelsea)

Bangun semua untuk berikan penghormatan kepada sang raja iaitu Didier Drogba!

Drogba boleh dikatakan sebagai pemain Afrika terbaik yang pernah beraksi di England.

Usaha Jose Mourinho yang berkeras meminta pemilik Chelsea, Roman Abrahamovich membawa Drogba ke Stamford pada 2004 jelas membawa hasil.

Sejak tiba dari Marseille pada tahun tersebut, Drogba menjadi nadi penting kepada kelab dengan beliau merangkul pelbagai gelaran domestik.

Drogba menjaringkan 164 gol serta 87 bantuan jaringan dalam 381 penampilan bersama-sama Chelsea sambil merangkul empat gelaran liga.

Beliau juga dianggap sebagai “Raja Wembley baharu” apabila sering menjaringkan gol di stadium tersebut pada perlawanan-perlawanan besar.

Dan rekodnya juga hebat apabila Drogba merangkul empat gelaran FA Cup dan tiga gelaran English League Cup.

Dan pencapaian terhebat Drogba bersama-sama Chelsea adalah sepakannya memberikan kejuaraan Eropah yang pertama buat The Blues pada 2012.

Bintang-bintang terhormat yang lain: Sadio Mane (Senegal), Michael Essien (Ghana), Demba Ba (Senegal), John Obi Mikel (Nigeria) dan Wilfried Zaha (Ivory Coast)

Kredit gambar: Premier League