Kenapa Selalu Ada Pasukan Jemputan Di Copa America? | Cyberlynx

Kenapa Selalu Ada Pasukan Jemputan Di Copa America?

Copa America

Copa America (Copa) merupakan saingan kejohanan bola sepak benua yang terkenal di seluruh dunia setanding dengan EURO dan juga Piala Asia.

Kejohanan ini telah bermula sejak dari 1916 lagi dengan kuasa-kuasa besar Argentina, Uruguay dan Brazil antara pasukan yang sering menjuarai kejohanan ini.

Namun begitu, ada satu perkara yang menarik mengenai kejohanan. Bagaimana ianya boleh dilangsungkan dengan jumlah pasukan yang kecil?

Untuk pengetahuan anda, benua Amerika Selatan hanya mempunyai 10 negara sahaja jadi bagaimana ianya dilangsungkan?

Jawapannya adalah dengan menjemput pasukan luar. Jom kita kupas mengenai perkara ini!

Meluaskan kejohanan

Sejak 1916, Copa hanya dimainkan oleh pasukan dari benua Amerika Selatan sahaja. Namun sejak edisi 1993, pihak CONMEBOL mula menjemput pasukan dari benua lain untuk bertanding.

Tujuannya adalah untuk memboleh kejohanan disertai dengan 12 pasukan. Kejohanan 12 pasukan ini membolehkan ia dilangsungkan secara kalah mati dengan baik menerusi format tiga kumpulan.

Dalam format ini, 12 pasukan dibahagikan kepada tiga kumpulan yang terisi empat negara di dalamnya.

Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan seterusnya. Sementara dua pasukan tempat ketiga terbaik turut akan mara.

Untuk rekod, sejak 1993 terdapat sembilan pasukan jemputan telah melakukan penampilan di Copa dengan lazimnya mereka adalah dari benua Amerika Utara.

Hal ini kerana, pasukan dari Amerika Utara lebih mudah untuk dijemput atas faktor jarak yang lebih dekat serta perkongsian budaya yang hampir sama dengan negara-negara Amerika Selatan.

Pasukan-pasukan jemputan yang pernah melakukan penampilan di Copa adalah:

  • Mexico (1993, 1995, 1997, 1999, 2001, 2004, 2007, 2011, 2015, 2016)
  • Costa Rica (1997, 2001, 2004, 2011, 2016)
  • Honduras (2001)
  • Haiti (2016)
  • Jamaica (2015, 2016)
  • Amerika Syarikat (1993, 1995, 2007, 2016)
  • Jepun (1999, 2016)
  • Panama (2016)
  • Qatar (2019)

Selain daripada sembilan pasukan ini, terdapat juga pasukan-pasukan lain seperti Sepanyol, Australia dan China yang pernah dijemput menyertai Copa namun mereka terpaksa menolak jemputan itu atas pelbagai sebab.

Edisi 2016 menyaksikan penyertaan terbesar di mana terdapat 10 pasukan Amerika Selatan dan enam dari Amerika Utara menyertai Copa America Centenario di Amerika Syarikat.

Bagaimana dengan edisi 2021?

Edisi 2021 bagi Copa sepatutnya disertai oleh dua pasukan Asia iaitu Australia dan juga Qatar.

Namun, kedua-dua negara itu terpaksa menolak jemputan tesebut kerana komitmen mereka dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022 bagi zon Asia.

Oleh kerana tiada jemputan dilakukan kepada pasukan lain, Copa 2021 dijalankan dengan 10 pasukan sahaja bertanding – kesemuanya dari benua Amerika Selatan.

Format bagi edisi 2021 juga berubah dengan 10 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan yang mempunyai lima negara.

Empat pasukan terbaik setiap kumpulan bakal layak ke pusingan suku akhir dengan juara bakal diketahui pada 11 Julai 2021 (Ahad).

Kredit gambar: Facebook Copa America