Siapakah Pemain Berdarah England Yang Mewakili Scotland Di Euro 2020? | Cyberlynx

Siapakah Pemain Berdarah England Yang Mewakili Scotland Di Euro 2020?

Scott McTominay

GAMBAR: MUFC/Getty

Scotland dan England ini mempunyai persamaan yang sama dengan Malaysia dan Indonesia iaitu serumpun.

Mungkin dari segi tutur kata dan bahasanya sedikit berbeza, namun budaya yang dimilik oleh mereka adalah hampir sama.

Kedua-dua negara berjiran ini sejak lamanya mempunyai pertalian hubungan menerusi perkahwinan. Dan jangan terkejut jika anda jumpa seorang warga Inggeris yang mempunyai datuk yang merupakan orang Scotland.

Ya itulah yang berlaku dalam skuad Scotland di saingan Euro 2020 ini.

Mereka mungkin sudah tersingkir daripada saingan, namun apa yang menarik mengenai Tartan Army ini adalah terdapat pemain campuran darah England bersama-sama mereka.

Siapakah mereka? Jom kita kenal!

Liam Cooper

Cooper merupakan pemain pertahanan tengah Scotland yang beraksi buat Leeds United di Premier League.

Berusia 29 tahun, Cooper dilahirkan di Kingston Upon Hull dan membesar di sana sebagai penyokong Leeds.

Walaupun duduk di England, Cooper menzahirkan rasa cintanya kepada Scotland dengan memilih untuk mewakili negara itu sejak dari skuad remaja lagi pada 2008.

Sejak dari itu, beliau tidak memandang lagi sebarang potensi untuk mewakili England walaupun beliau layak.

Cooper terus memilih untuk mewakili Scotland atas dasar mempunyai pertalian darah dengan datuk kandungnya yang merupakan warga West Lothian – salah sebuah daerah di Scotland.

Di Euro 2020, Cooper hanya melakukan satu penampilan untuk negara ketika menentang Republik Czech.

Che Adams

Pertama sekali kami ingin tegaskan, Che Adamas bukan berasal dari Kelantan. Sebaliknya, beliau merupakan penyerang Southampton yang lahir di Leicester pada 1996.

Situasi Adams ini unik kerana beliau mempunyai peluang untuk mewakili beberapa buah negara di peringkat antarabangsa.

Adams boleh mewakili England atas tiket negara kelahirannya selain mewakili Antigua & Barbuda yang terletak di kawasan Caribbean.

Malah, Adams juga boleh mewakili Scotland menerusi pertalian darah menerusi nenek kandungnya.

Beliau pernah dijemput mewakili Antigua & Barbuda pada 2014 namun memilih untuk tidak menerima tawaran itu.

England juga turut menawarkan tempat untuknya dalam skuad C mereka yang merupakan skuad separuh professional pada tahun yang sama tetapi Adams tidak boleh menyertainya kerana sudah bergelar pemain profesional pada waktu tersebut.

Akhirnya, beliau memilih untuk mewakili Scotland pada Mac 2021 dan menjadi antara teraju serangan Scotland di Euro 2020.

Adams beraksi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan untuk Scotland dengan dua daripadanya sebagai kesebelasan utama.

Scott McTominay

Scott McTominay merupakan pemain Manchester United yang lahir di Lancaster pada tahun 1996.

Beliau merupakan produk keluaran United dan mempunyai masa depan yang cerah untuknya sehinggakan England dan Scotland berusaha untuk mendapatkan pemain tersebut.

Namun, usaha yang ditunjukkan oleh Scotland lebih kuat dengan pengendali pasukan ketika itu iaitu Alex McLeish telah turun sendiri ke padang latihan United untuk bertemu McTominay pada 2018.

Malah, datuk kandungnya yang merupakan warga Scotland mendedahkan yang Sir Alex Ferguson sendiri mahukan McTominay mewakili Tartan Army.

Akhirnya pada Mac 2018, McTominay mewakili Scotland menerusi pertalian dengan datuk kandungnya yang berasal dari Helensburgh sambil merealisasikan impiannya untuk mewakili negara itu sejak kecil.

McTominay beraksi dalam semua tiga aksi Euro 2020 Scotland sebagai kesebelasan utama.

Kredit gambar: MUFC/Getty