Inilah Tips Sepakan Penalti Yang Terbaik Untuk Anda! | Cyberlynx

Inilah Tips Sepakan Penalti Yang Terbaik Untuk Anda!

Tips Sepakan Penalti

Soccer Football - Serie A - Bologna v Juventus - Stadio Renato Dall'Ara, Bologna, Italy - June 22, 2020 Juventus' Cristiano Ronaldo scores their first goal from the penalty spot, as play resumes behind closed doors following the outbreak of the coronavirus disease (COVID-19) REUTERS/Jennifer Lorenzini

Sepakan penalti merupakan salah satu daripada situasi bola mati yang memberikan peluang kepada sesebuah pasukan menjaringkan gol.

Ianya tampak mudah bukan kerana memerlukan bola disepak dari jarak 12 meter saja. Tetapi, mengambil sepakan penalti tidaklah semudah yang dilihat.

Ia memerlukan teknik yang betul disamping keteguhan mental yang tinggi supaya tidak tewas dengan usikan ‘nakal’ dari penjaga gol lawan.

Oleh itu, kali ini kami sediakan kepada anda tips mengambil sepakan penalti dengan sempurna oleh legenda Southampton iaitu Matt Le Tissier.

Beliau sehingga hari ini memegang rekod sebagai pengambil sepakan penalti paling sempurna di Premier League.

Le Tissier menjaringkan 47 daripada 48 sepakan penalti yang diambil beliau. Satu rekod yang hebat!

Berikut adalah tips dari tuan punya badan sendiri untuk mengambil sepakan penalti dengan cemerlang:

Pilih sudut kegemaran

Sudut kegemaran adalah satu kunci penting kepada kejayaan sepakan penalti anda.

Pilih satu sudut kegemaran anda tidak kiri di sebelah kiri, kanan atau pun bahagian tengah gol.

Menurut Le Tissier, sudut kesukaannya adalah di sebelah kiri penjaga gol atau sebelah kanan si penyepak.

Selepas memilih sudut kegemaran, pemain haruslah meletakkan kuasa yang banyak pada sepakan untuk memastikan ianya sukar kepada penjaga gol untuk menyelamatkan bola itu.

Le Tissier turut menjelaskan kenapa sudut tersebut menjadi kegemarannya.

“Sebagai penyepak sepakan penalti berkaki kanan, sepakan penalti yang baik boleh dihasilkan menggunakan sisi dalam kaki.”

“Apabila bola disepak ke sebelah kiri penjaga gol, ianya memberikan sedikit lencong yang akan menyukarkan mereka untuk menyelamatkan bola tersebut.”

Selain itu, pemilihan sudut itu juga memudahkan Le Tissier untuk membaca pergerakan penjaga gol.

Jika penjaga gol menerbangkan badannya ke arah yang hendak beliau sepak, arah sepakan itu akan ditukarkan dengan segera.

Pastikan minda bergerak pantas

Mengambil sepakan penalti bukan hanya menggunakan kaki sahaja, ia turut memerlukan fikiran yang tajam ketika hendak melakukannya.

Menurut Le Tissier, minda penyepak sepakan penalti perlu pantas terutamanya apabila berhadapan dengan situasi dimana penjaga gol telah merebahkan badan mereka.

“Jika saya nampak penjaga gol telah melayangkan badannya lebih awal ke sudut kegemaran saya, saya akan mengubah arah sepakan bola dengan pantas ke sudut yang berlainan.”

Minda harus bergerak pantas ketika sepakan penalti diambil kerana ia dapat membantu penyepak untuk mendapatkan jaringan dari 12 meter.

Dan kerana kepantasan minda ianya telah membantu Le Tissier menjadi pengambil sepakan penalti terbaik di Premier League.

Kekal positif

Mempunyai fikiran positif adalah satu lagi perkara penting dalam mengambil sepakan penalti.

Mengambil sepakan penalti akan menghadirkan beban yang tinggi kepada si penyepak. Mereka akan dihujani dengan pelbagai fikiran serta tekanan dari sekeliling akan menganggu mereka.

Oleh itu, Le Tissier menasihatkan agar pastikan tiada sebarang fikiran negatif yang berada dalam kepala sewaktu hendak menyepak.

“Sewaktu mengambil sepakan penalti, saya pernah terfikir tekanan dari penyokong, bagaimana stadium akan bergegar dengan sorakan.”

“Tetapi saya memilih untuk fikir berlainan, saya fikir yang sepakan penalti adalah peluang terbaik saya untuk menjaringkan gol jadi kerana itu saya kekal positif.”