3 Jenis Kerjaya Boleh Anda Ceburi Dalam Industri Perakaunan| Cyberlynx

3 Jenis Kerjaya Boleh Anda Ceburi Dalam Industri Perakaunan

Industri Perakaunan

Industri perakaunan amat penting dalam dunia pekerjaan. Kita boleh lihat di seluruh industri pastinya terdapat bahagian perakaunan di dalam firma mereka.

Tetapi tahukah anda? Bidang perakaunan ini mempunyai cabang kerjaya yang begitu luas merangkumi perkhidmatan di sektor awam, swasta atau perkhidmatan kewangan.

Oleh itu, hari ini kita akan melihat tiga daripada pelbagai jenis kerjaya yang ditawarkan dalam industri perakaunan.

Kerani perakaunan

Kerani perakaunan atau accounting clerk merupakan salah satu jawatan yang cukup penting dalam sebuah syarikat.

Pekerja di jawatan ini memainkan peranan penting dalam pentadbiran harian bagi kewangan syarikat serta bahagian penggajian.

Mereka yang bekerja dalam jawatan ini lazimnya akan memproses invois, penggajian dan pelbagai lagi transaksi kewangan syarikat.

Kerani perakaunan akan bergandingan dengan pegawai akaun dan audit yang senior di firma mereka.

Akauntan forensik

Akauntan forensik merupakan salah satu cabang kerjaya yang menarik dalam dunia perakaunan.

Secara asasnya, kerjaya ini mempunyai dua bahagian lazim iaitu perakaunan penyiasatan (investigative accounting) dan sokongan litigasi (litigation support).

Dalam perakaunan penyiasatan, akautan forensik akan melakukan beberapa tugasan untuk mengesan penipuan atau aktiviti kewangan yang tidak sah dilakukan.

Ketika proses ini, akauntan forensik akan melakukan audit, kaedah kuantitatif, dan kemahiran-kemahiran berkaitan dalam menghasilkan semula laporan kewangan.

Sementara itu, sokongan litigasi yang dilakukan oleh akautan forensik adalah dengan bertindak sebagai saksi pakar (expert witness) atau perunding kepada pihak berkaitan yang terlibat dengan proses tuntutan mahkamah.

Ketika proses tuntutan mahkamah dilakukan, akauntan forensik akan menyediakan beberapa perkhidmatan lain seperti semakan semula dokumen dan mendapatkan dokumen berkaitan untuk tujuan tuntutan.

Selain itu, akautan forensik juga akan membantu peguam untuk mengajukan soalan yang melibatkan terma kewangan semasa dan sebelum perbicaraan serta memberi pertolongan ketika perbincangan untuk penyelesaian kes.

Penganalisis bajet

Cabang kerjaya sebagai penganalisis bajet (budget analysis) ini bertanggungjawab untuk menganalisis bajet selain mencari jalan untuk menggunakan sumber yang ada bagi memaksimakan keuntungan.

Lazimnya, jawatan penganalisis bajet ini terdapat di syarikat yang berasaskan keuntungan. Perkara ini adalah normal kerana dalam ekonomi, firma akan meminimakan kos untuk memaksimakan keuntungan mereka.

Skop kerja utama bagi seorang penganalisis bajet adalah untuk menganalisis kekurangan atau isu yang terdapat dalam bajet syarikat.

Selepas melakukan proses tersebut, penganalisis bajet akan merangka strategi bajet yang baharu serta mencadangkannya kepada pihak pengurusan.