Shahril Arsat Puas Hati Hasil Pemilihan Pemain Cyberlynx FC | Cyberlynx

Shahril Arsat Puas Hati Hasil Pemilihan Pemain Cyberlynx FC

Shahril Arsat Cyberlynx FC

GAMBAR: Radio Era

Ketua jurulatih Cyberlynx FC, Shahril Arsat menzahirkan rasa puas hati terhadap hasil yang diperoleh ketika melakukan sesi pemilihan pemain pada bulan Mac dan April lalu.

Menggunakan sesi pemilihan tersebut sebagai salah satu cara membentuk skuad bagi saingan Liga M3, Shahril mendedahkan setiap lokasi yang mereka pergi mempunyai pemain-pemain yang berpotensi tinggi.

“Di setiap lokasi yang kami pergi, terdapat dua hingga tiga pemain yang menarik perhatian kami. Malah, ada lokasi yang mempunyai sehingga lima hingga enam pemain yang berjaya layak ke peringkat seterusnya,” kata Shahril.

Shahril Arsat Cyberlynx FC

GAMBAR: Radio Era

Menurut Shahril, seramai 65 pemain dipilih ke peringkat kedua pemilihan dengan hanya 30 orang sahaja yang bakal diserapkan ke skuad Cyberlynx untuk saingan liga.

Tambah Shahril, gambaran skuad yang bakal dihimpunkan oleh Cyberlynx tertumpu kepada pemain-pemain muda.

“Kami lebihkan pemain-pemain muda kerana Liga M3 adalah saingan terbaik untuk beri mereka pengalaman.”

“Sambil itu, kami turut bawa beberapa pemain senior untuk menguatkan lagi pasukan.”

Skuad Cyberlynx dijangka akan melakukan latihan pada 18 Mei ini selepas cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beberapa perlawanan persahabatan turut dijangka bakal diadakan bagi menguji keserasian pasukan bergantung kepada jadual ketat serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).