Kenali 5 Pemain Handalan Dihasilkan Oleh Akademi Dinamo Zagreb| Cyberlynx

Kenali 5 Pemain Handalan Dihasilkan Oleh Akademi Dinamo Zagreb

Akademi Dinamo Zagreb

Dalam dunia bola sepak, terdapat banyak akademi yang melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti tinggi yang kemudiannya membuatkan kita semua jatuh cinta dengan sukan ini.

Akademi seperti Ajax Amsterdam antara yang dianggap sebagai yang terbaik di dunia dan itu juga boleh dikatakan buat La Masia milik Barcelona seperti yang kami pernah kupas dalam artikel sebelum ini.

Anda boleh baca artikel mengenai graduan La Masia di sini.

Artikel kali ini menceritakan mengenai sebuah akademi yang kurang mendapat perhatian tetapi sering menghasilkan ramai pemain handalan dunia iaitu Dinamo Zagreb.

Dinamo Zagreb merupakan pasukan gergasi Croatia yang sering mendominasi saingan tempatan. Walaupun kurang berjaya di saingan Eropah tetapi mereka sering menghasilkan ramai pemain berkualiti untuk kelab handalan dunia.

Mari kita saksikan lima pemain terhebat yang pernah dihasilkan oleh akademi Dinamo Zagreb pada era moden ini:

Verdran Corluka

Pemain veteran Croatia ini adalah salah seorang pemain yang menjadi produk akademi Zagreb. Untuk rekod, Corluka menyertai akademi seawal usia lapan tahun.

Selepas mewakili skuad Zagreb bawah 19 tahun, beliau memecah masuk skuad utama pada 2003 dan berkhidmat sehingga 2007 sebelum menyertai Manchester City.

Pemain pertahanan tengah ini kemudiannya mempunyai karier yang pelbagai apabila beraksi untuk pasukan-pasukan lain seperti Bayer Leverkusen dan Tottenham Hotspur.

Kini berusia 35 tahun, Corluka beraksi bersama Lokomotiv Moscow dan menjadi ketua pasukan di sana.

Niko Kranjcar

Merupakan pemain kegemaran Harry Redknapp sewaktu di Tottenham, Kranjcar merupakan produk akademi Zagreb yang bermain di posisi tengah menyerang.

Beliau mula beraksi untuk akademi Zagreb di penghujung 1990-an sebelum mewakili skuad senior pada 2003 hingga 2005.

Selepas itu Kranjcar mencipta kontroversi apabila menyertai Hajduk Split yang merupakan musuh tradisi Zagreb dan beraksi di sana selama setahun.

Beliau kemudiannya beraksi bersama-sama Portsmouth sebelum bermain buat Tottenham dan Queens Park Rangers untuk melengkapkan tiga kelab yang Kranjcar wakili di England.

Kranjcar yang kini sudah bersama turut bermain di beberapa kelab lain seperti New York Cosmos, Dynamo Kiev dan the Rangers.

Dejan Lovren

Lovren mungkin tidak seperti Corluka yang sudah bersama Zagreb seawal usia lapan tahun, namun bersama merekalah bekas pemain Liverpool ini memulakan karier profesionalnya.

Mewakili skuad bawah 17 tahun mereka, Lovren kemudiannya beraksi untuk Inter Zapresic yang merupakan salah sebuah kelab di Croatia.

Beliau kemudiannya mencuri tumpuan di Perancis bersama-sama Olympique Lyonnais sebelum disambar Southampton pada 2014.

Lovren kemudiannya menyertai Liverpool dan selepas mengecapi Premier League dan UEFA Champions League bersama The Reds, beliau membawa diri ke Zenit St. Petersburg di Rusia.

Mateo Kovacic

Kovacic mungkin memulakan perjalanan bola sepaknya di Austria, namun di Zagreb adalah tempat dimana dirinya menjadi pemain handalan dunia.

Ketika mewakili pasukan Austria iaitu LASK, Kovacic dipantau oleh 13 buah kelab seperti Bayern Munich, Juventus dan Ajax Amsterdam. Namun beliau memilih untuk ke akademi Zagreb pada 2009.

Beliau menjadi produk akademi Zagreb yang berjaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan Kovacic beraksi untuk Inter Milan pada 2013 hingga 2015 sebelum ke Real Madrid.

Selepas empat tahun berada di Madrid, Kovacic kini beraksi untuk Chelsea sehingga sekarang.

Luka Modric

Barangkali adalah produk akademi Zagreb terhebat ketika ini, Modrid menyertai mereka sejak dari 2000 selepas berpindah dari kelab bernama Zadar.

Modrid menunjukkan potensinya yang cukup besar bersama skuad utama Zagreb dan mewakili kelab itu selama lima tahun sambil menjalani dua tempoh pinjaman ke Zrinjski Mostar dan Inter Zapresic.

Selepas itu, beliau mencipta nama di England bersama Tottenham sejak 2008 sebelum berjaya mendapatkan perpindahan impian ke Real Madrid pada 2012.

Kini menghampiri 10 tahun perkhidmatan bersama Los Blancos, Modric telah memenangi pelbagai kejuaraan bersama Madrid termasukalah gelaran individu iaitu UEFA Best Player in Europe dan FIFA Best Men’s Player.