Kenapa Akademi Bola Sepak Mula Haramkan Menanduk Bola? | Cyberlynx

Kenapa Akademi Bola Sepak Mula Haramkan Menanduk Bola?

menanduk bola

Menanduk merupakan satu perkara yang normal di dalam bola sepak. Ianya digunakan ketika berada dalam situasi perebutan bola di udara serta sebagai salah satu cara untuk menjaringkan gol.

Ramai pemain yang sinonim dengan tandukan yang hebat seperti Cristiano Ronaldo dan juga Tim Cahill, namun tahukah anda ianya tandukan sebenarnya bahaya untuk mereka?

Hal ini kerana, terlalu banyak menanduk bola ketika bermain akan menyebabkan pemain mengalami sebuah penyakit iaitu dementia.

Dementia merupakan sebuah penyakit otak dimana seseorang itu akan hilang fungsi kognitifnya seperti berfikir, mengingat sesuatu dan memberi sebab (reasoning).

Selain itu, ia juga akan memberikan kesan kepada kehidupan seharian seseorang itu dengan kualiti ingatan, kebolehan berbahasa, penyelesaian masalah serta pengurusan diri mereka akan terjejas.

Oleh kerana inilah, banyak akademi bola sepak sudah mula mengharamkan tandukan dilakukan oleh pemain muda untuk mengelakkan perkara ini berlaku.

Bekas pemain England, Chris Sutton antara pemain yang lantang meminta badan bola sepak termasuklah FIFA untuk mengatasi isu ini.

Ianya disebabkan bapanya, Mike Sutton yang juga bekas pemain mengalami penyakit ini dan kini tidak mampu untuk mengenali anaknya sendiri.

“Ianya sukar buat saya, penyakit seperti dementia dan nyanyuk ini tidak ada penawarnya,” kata Sutton.

Pengecahan bermula di akademi

Kini, langkah pencegahan telah mula diambil secara proaktif untuk memastikan tiada lebih ramai pemain bakal mengalami dementia di hari tua mereka.

Di United Kingdom (UK), larangan untuk menanduk di bagi pemain akademi sudah mula dilaksanakan.

Pada Februari 2020, larangan menanduk bagi pemain akademi bawah 12 tahun tahun telah dilaksanakan di seluruh akademi bola sepak England, Scotland dan Ireland Utara.

Bagi pemain yang melebihi 12 tahun pula, jurulatih perlu meletakkan bilangan had menanduk buat mereka.

Satu lagi negara dalam gagasan UK iaitu Wales, mereka masih meneliti perkara tersebut dan tidak melaksanakan larangan tersebut serentak dengan tiga negara yang disebutkan tadi.

Di Malaysia pula, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut melaksanakan peraturan yang sama.

Mereka bekerjasama dengan beberapa akademi bola sepak di negeri itu untuk melaksanakan larangan menanduk bagi pemain bawah 12 tahun bagi melindungi mereka daripada kecederaan kepala pada jangka masa panjang.

Tindakan yang diambil adalah sejajar dengan apa yang dilakukan di UK bagi membendung masalah dementia pada masa hadapan.

Kita tidak boleh nafikan yang tandukan adalah salah satu elemen penting dalam bola sepak. Lihat saja begitu banyak jaringan cantik yang terhasil daripada tandukan tajam pemain berkelas dunia.

Namun begitu, sekiranya amalan menanduk bola ini membawa kesan berbahaya kepada pemain dan dunia bola sepak secara am maka eloklah ianya dicegah perbuatannya sebelum melarat.