Bagaimana Akademi Bola Sepak Beroperasi Ketika Covid-19? | Cyberlynx

Bagaimana Akademi Bola Sepak Beroperasi Ketika Covid-19?

Pandemik Covid-19 jelas sekali memberikan kesan yang besar kepada semua pihak dan bola sepak tidak terkecuali.

Selain daripada skuad utama yang mengalami masalah apabila mereka tidak boleh beraksi, akademi juga turut mengalami situasi yang sama.

Lebih menyukarkan lagi keadaan, jumlah pemain di akademi adalah lebih ramai berbanding skuad utama jadi pastinya lebih susah untuk diuruskan. Tetapi bagaimana mereka lakukannya?

Pasukan English Championship, Birmingham City mengambil beberapa pendekatan dalam memastikan akademi mereka terus beroperasi di waktu sukar ini dengan beberapa langkah berbeza.

Penggunaan teknologi

Seperti industri pendidikan dan juga ekonomi, bola sepak juga turut menggunakan sepenuhnya teknologi terkini untuk memastikan latihan terus berjalan.

Birmingham menggunakan perisian sidang video Zoom untuk melaksanakan program latihan mereka bersama-sama pemain akademi.

Menggunakan Zoom, barisan kejurulatihan akademi akan mengadakan sesi latihan dari jarak jauh bersama-sama para pemain secara langsung.

Mereka mengadakan latihan fizikal menerusi Zoom dengan modul latihan sama seperti ketika sesi dijalan secara normal namun dengan sedikit pengubahsuaian. Sebagai contoh, modul latihan diubah dengan mengurangkan jumlah larian dilakukan oleh pemain.

Penggunaan aplikasi analisis seperti Strava amat membantu kelab bagi memantau prestasi pemain. Untuk memantau, pihak kelab akan menganalisis menerusi jumlah jarak (distance covered) yang diperoleh pemain ketika sesi latihan.

Pemain akan menangkap layar jumlah jarak yang dilakukan oleh mereka dan kemudiannya menghantar tangkap layar tersebut untuk dianalisis oleh bahagian sains sukan dan perubatan kelab.

Kesihatan mental turut diutamakan

Berhadapan dengan norma baharu jelas sekali tidak mudah untuk semua pihak. Malah, ada yang berhadapan dengan situasi dimana kesihatan mental mereka terjejas kerana pandemik.

Oleh itu, Birmingham mengambil inisiatif menarik untuk memastikan kesihatan mental pemain akademi mereka berada dalam keadaan yang baik.

Penglibatan pemain-pemain dalam skuad senior amat penting dalam menjayakan perkara ini. Pihak kelab mengadakan sesi soal jawab bersama pemain senior dengan pemain akademi diberi peluang bertanya kepada bintang kelab mereka mengenai pelbagai hal.

Pemain-pemain seperti Lukas Jutkiewicz, Wes Harding dan Craig Gadner antara bintang kelab yang turut serta menjayakan program ini.

Selain itu, Birmingham turut melakukan program motivasi kepada pemain dan juga staf sebagai pengisian semasa tempoh kawalan pergerakan.

Staf pasukan seperti Gianfranco Zola, Wes Brown serta Wayne Bridge antara yang turut serta dalam membantu menyemai nilai positif dalam kalangan pemain kelab pada waktu sukar ini.

Dalam masa yang sama, Birmingham turut menjaga kebajikan pemain dan juga ibu bapa mereka ketika pandemik Covid-19 ini.

Pihak kelab turut mengambil inisiatif dengan menelefon kedua ibu bapa pemain dengan bertanyakan khabar kepada mereka. Malah, mereka juga turut memberikan bantuan mengikut keperluan seperti komputer riba untuk tujuan pembelajaran jarak jauh, kerusi roda dan lain-lain.

Apa yang dilakukan oleh Birmingham ini jelas mendapat respon positif dari pihak ibu bapa. Tindakan melakukan aktiviti engagement sebegini membantu ramai pemain di akademi untuk tidak berasa ketinggalan pada waktu pandemik.

Boleh dikatakan yang akademi bola sepak Birmingham City berjaya merespon dengan baik apabila Covid-19 melanda dan apa yang dilakukan mereka harus menjadi ikutan akademi-akademi yang lain.

Kredit gambar: IHM Football Academy