5 Karier Yang Sering Diceburi Pemain Bola Sepak Selepas Bersara | Cyberlynx

5 Karier Yang Sering Diceburi Pemain Bola Sepak Selepas Bersara

Kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional tidaklah lama. Jangka hayat seorang pemain profesional boleh mencapai maksima 20 tahun sekiranya tidak dihimpit dengan kecederaan serius.

Lazimnya, jangka hayat karier pemain profesional adalah 10 tahun. Jadi, apa yang dilakukan oleh mereka selepas tamat bermain?

Kami senaraikan lima cabang karier yang lazim dilakukan oleh pemain profesional selepas bersara.

Pengurus/jurulatih

Cabang karier ini adalah lazim dipilih pemain selepas mereka bersara. Rata-rata pemain mengambil lesen kejurulatihan sebelum mereka bersara lagi terutamanya ketika karier bermain berada di fasa akhir.

Selepas bersara, mereka akan memulakan karier sebagai staf kejurulatihan atau pengurus. Ada yang berkhidmat di kelab yang pernah mereka bermain, malah terdapat juga yang bermula dari kelab di divisyen bawahan.

Frank Lampard dan Steven Gerrard adalah contoh terkini yang mengambil jalan ini. Lampard memulakan karier di kelab divisyen dua England, Derby County sebelum pulang ke Chelsea sebagai ketua jurulatih.

Sementara Gerrard memulakan karier kejurulatihan sebagai pengurus skuad remaja Liverpool sebelum berkhidmat di Scotland bersama Rangers.

Penganalisis

Selain menjadi pengurus atau jurulatih, bekerja sebagai penganalisis di stesen televisyen turut menjadi karier pilihan selepas bermain.

Ramai pemain ternama yang menceburi bidang ini yang dimana mereka akan menganalisis corak permainan serta membincangkan isu semasa dalam bola sepak.

Gary Neville dan Jamie Carragher antara beberapa penganalisis terulung dalam bola sepak. Kedua-duanya terkenal dengan perdebatan hangat mereka dalam rancangan Monday Night Football terbitan Sky Sports.

Di Malaysia juga turut terdapat bekas pemain yang menjadi penganalisis seperti Syed Adney, Asmawi Bakiri dan juga Ahmad Shahrul Azhar.

Pengacara

Ianya masih lagi cabang yang sama dalam bidang penyiaran tetapi sebagai pengacara. Dikala ramai pemain memilih untuk menjadi penganalisis selepas bermain, ada juga yang mahu menjadi pengacara rancangan televisyen.

Gary Lineker antara beberapa pemain yang menjadi pengacara selepas bersara. Beliau telah menghiasi rancangan Match of the Day terbitan BBC sejak 1999 sehingga kini.

Selain Lineker, bekas pemain Leeds United dan Stoke City iaitu Chris Kamara turut menjadi pengacara di Sky Sports untuk rancangan Goals on Sunday. Di luar bola sepak, Kamara turut menjadi pengacara bagi rancangan Ninja Warrior UK terbitan ITV.

Membina yayasan

Yayasan dibina untuk memberikan sinar kepada golongan yang memerlukan. Oleh kerana itu, pemain bola sepak juga turut mewujudkan yayasan mereka sendiri untuk memberikan semula kepada masyarakat.

Terdapat ramai pemain bola sepak terulung dunia yang membuka yayasan mereka sendiri semasa atau selepas bermain seperti yang dilakukan oleh Dirk Kuyt dan Craig Bellamy.

Kuyt yang merupakan bekas pemain Liverpool mendirikan yayasan miliknya untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Belanda, Brazil, Nepal dan juga Ghana.

Manakala Bellamy juga turut mendirikan yayasannya sendiri dengan misi untuk membantu kanak-kanak dari segi pendidikan dan memberikan latihan bola sepak. Lebih menarik, beliau mendermakan £1.4 juta pendapatannya sendiri kepada negara Sierra-Leone untuk memulakan yayasan tersebut!

Memimpin kelab atau persatuan

Selain menguruskan pasukan diatas padang, ada juga yang lebih gemarkan menjadi pemimpin organasasi melibatkan bola sepak.

Ada sesetengah pemain yang menceburkan diri dalam persatuan seperti persatuan pemain profesional.

Shahrom Kalam dan S. Subramaniam antara bekas pemain yang melibatkan dalam persatuan pemain iaitu Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Selain itu, ada juga yang memiliki kelab bola sepak sendiri seperti yang dilakukan oleh Paul Scholes, Ryan Giggs dan kesemua alumni Class of ‘92 yang menjadi pemilik Salford City.

Dalam masa yang sama, David Beckham yang juga alumni kumpulan tersebut turut memiliki Inter Miami di Amerika Syarikat.

Panjangkan karier anda bersama Cyberlynx

Kejayaan di padang harus seiring dengan kecemerlangan dalam akademik. Oleh itulah, Kolej Antarabangsa Cyberlynx memperkenalkan Diploma Pengajian Bola Sepak buat anak muda diluar sana yang berminat dengan industri bola sepak.

Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menawarkan program tersebut di Malaysia, pelajar akan didedahkan dengan pendidikan bola sepak sebagai sebuah industri yang meliputi perihal pengurusan, kewangan serta berkaitan penyiaran.

Menerapkan elemen Educating Atheletes, program ini sejajar dengan kehendak industri bola sepak moden serta ianya bertepatan dengan rangka tindakan bola sepak seperti Next50 dan misi Kementerian Belia & Sukan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sukan.

Sertai Diploma Pengajian Bola Sepak di Cyberlynx sekarang untuk meluaskan lagi peluang kerjaya anda selepas bermain!