Media Sosial Jadi Cabaran Utama Pemain Akademi Masa Kini - Cyberlynx

Media Sosial Jadi Cabaran Utama Pemain Akademi Masa Kini

Hasmawi Hassan

Kebangkitan media sosial sebagai medium komunikasi telah membuatkan ramai diantara kita menggunakannya.

Ianya memudahkan kita semua untuk berhubung dan mengetahui apa yang terkini di sekeliling kita.

Namun begitu, penggunaan atau mengalami ketagihan terhadap media sosial boleh membuatkan seseorang itu tidak dapat fokus kepada tugasan yang perlu dilakukannya.

Dalam konteks sebagai pemain bola sepak, media sosial mampu menjadi cabaran utama kepada mereka dalam berjaya.

Menurut ketua jurulatih Akedemi Cyberlynx, Hasmawi Hassan, beliau mendapati media sosial adalah cabaran terbesar pemain muda pada masa kini.

Kata Hasmawi, budaya fear of missing out atau FOMO membuatkan pemain sering ‘melekat’ dengan media sosial.

“Media sosial adalah cabaran atau gangguan terbesar pemain muda hari ini.”

“Daripada 10 pemain hanya tiga sahaja yang benar-benar serius nak bermain, selebihnya hanya sertai latihan tetapi tidak serius. Hanya cuma nak rakam dan siarkan di media sosial sahaja.”

Tambah Hasmawi, pengaruh media sosial membuatkan mental pemain muda pada hari ini sedikit lemah berbanding sebelum ini.

Hal ini disebabkan kerana fokus pemain akan terganggu kerana hanya mahu menghabiskan masa di media sosial sahaja.

Apa yang dilakukan hanyalah untuk disiarkan di media sosial sahaja.

3 Jenis

Dalam masa yang sama, Hasmawi juga mengatakan terdapat tiga jenis pemain muda yang boleh dijumpai di padang latihan.

Menerusi tiga jenis ini, hanya satu kelompok sahaja yang benar-benar untuk bermain.

“Pemain muda di akademi ini ada tiga jenis, yang pertama adalah main kerana hobi. Kalau ada latihan dia akan datang, tapi kalau tak ada latihan, dia akan terus hilang.”

“Pemain jenis kedua adalah yang bermain kerana kemahuan ibu bapa. Pemain ini boleh dilihat ketika mereka usia 7-8 tahun dan mereka bermain kerana minat ibu bapa kerana kemahuan mereka bukan anak-anak.”

“Dari situ, kita akan nampak jasad saja berada di padang tetapi fikirannya tidak ada di situ.”

Jenis ketiga adalah satu-satunya kelompok yang benar-benar mahu bermain bola sepak.

“Pemain jenis ketiga adalah mereka yang benar-benar nak main. Selalunya latihan akan diadakan tiga kali seminggu dan jika pemain itu datang semua latihan maknanya dia betul-betul nak main.”

Hasmawi Hassan yang merupakan ketua jurulatih di Akademi Cyberlynx juga merupakan bekas pemain pasukan seperti Kedah dan Pulau Pinang.