3 Cabaran Lazim Dihadapi Jurulatih Ketika Melatih Pemain Akademi- Cyberlynx

3 Cabaran Lazim Dihadapi Jurulatih Ketika Melatih Pemain Akademi

Hasmawi Hassan

Kerjaya sebagai jurulatih ini kita boleh lihat secara dari pandangan kasar adalah sebuah tugas dimana mereka perlu melatih pemain tersebut untuk menjadi pemain yang berkualiti.

Itu adalah ringkasan kepada tugas seorang jurulatih. Seperti kerjaya lain, menjadi jurulatih juga mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Malah, cabaran itu turut berbeza bagi jurulatih pasukan senior dengan jurulatih akademi.

Kali ini, kami akan dedahkan kepada anda tiga cabaran lazim yang dihadapi oleh jurulatih akademi menurut pandangan Ketua Jurulatih Akademi Cyberlynx – Hasmawi Hassan.

Hasmawi yang mempunyai pengalaman luas melatih pemain akademi turut pernah berkhidmat di akademi Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sebelum ke Cyberlynx.

Jurang kemahiran

Menurut Hasmawi, perkara paling ketara yang menjadi cabaran jurulatih akademi adalah perbezaan ketara dari segi kemahiran antara pemain akademi dan pemain senior.

Pemain akademi lazimnya adalah raw material dan ini menjadi tugas jurulatih akademi untuk menggilap bakat mereka sehingga menjadi pemain cemerlang.

Cabaran ini adalah yang paling lazim bagi jurulatih akademi, tetapi hasilnya begitu memuaskan.

Kata Hasmawi, kepuasan akan terpancar apabila seseorang jurulatih berjaya membentuk pemain itu dengan baik.

“Sebagai jurulatih, kami akan berasa puas apabila apa yang kami ajar diikuti dan membuahkan hasil kepada pemain.”

“Sebagai contoh, jika kami ajar pemain itu untuk kuatkan kaki kirinya, apabila dia sudah mahir menggunakan kaki kiri itu adalah kejayaan buat kami.”

Apa yang pemain nak?

Cabaran kedua yang dihadapi oleh jurulatih akademi menurut Hasmawi adalah mengenai hala tuju pemain.

“Pemain-pemain akademi ini mempunyai kemahuan yang sangat tinggi, tetapi mereka ada satu masalah.”

“Mereka lazimnya tidak tahu apa yang mereka mahukan, mereka tidak tahu apa nak dibuat untuk menjadi pemain yang bagus.”

Dalam situasi ini, adalah menjadi tanggungjawab Hasmawi sebagai jurulatih untuk mencari kekuatan, kelemahan dan potensi pemain tersebut dan menggilap mereka.

Dari sinilah kita akan dapat saksikan bagaimana jurulatih akan mengubah seorang pemain yang pada mulanya seorang penyerang menjadi pemain pertahanan dek kerana potensi yang ada pada mereka untuk menyerlah di posisi-posisi tertentu.

Hanya luaran sahaja diikut

Cabaran ketiga yang dihadapi oleh jurulatih akademi adalah untuk mengubah disiplin seseorang pemain itu.

Menurut Hasmawi, beliau menyaksikan ramai pemain beliau mempunyai idola masing-masing dalam bola sepak.

Tetapi, mereka hanya mengikuti apa yang dilihat dari luaran sahaja.

“Pemain ini semuanya adalah idola mereka, dan mereka akan ikut apa yang idola mereka lakukan seperti kasut apa yang diguna, gaya rambut dan juga cara meraikan gol.”

“Tetapi, cara luaran itu sahaja yang diikuti mereka. Mereka tidak ikut apa yang membuatkan idola mereka itu berjaya seperti diet yang diamalkan, latihan keras serta tahap disiplin yang tinggi.”

Jadi, Hasmawi mengatakan ianya adalah tugas sebagai jurulatih untuk membetulkan etika kerja dan juga menjadikan pemain berdisiplin supaya boleh mencapai tahap seperti idola mereka.