3 Perbezaan Ketara Bola Sepak Malaysia & Jepun - Cyberlynx

3 Perbezaan Ketara Bola Sepak Malaysia & Jepun

Bola Sepak Malaysia

Sebelum ini, kita antara pencabar bola sepak di Asia.

Tetapi tidak tahu mana silapnya, sekarang untuk bersaing di peringkat Asia pastinya sukar.

Dahulunya kita dan Jepun saling bersaing semasam sendiri tetapi kini kita mungkin menjadi pasukan belasahan saja kepada mereka.

30 tahun menjadi satu tempoh yang cukup untuk membuktikan Malaysia sudah ketinggalan jauh dengan gergasi Asia itu.

Inilah tiga perbezaan ketara bola sepak Malaysia dan Jepun yang boleh dilihat oleh kita semua pada masa kini.

Budaya

Budaya yang diterapkan dalam setiap rakyat Jepun adalah dedikasi dan ini amat jauh berbeza berbanding dengan rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, kita boleh boleh lihat dari segi pemakanan. Dari situ, atlet kita sudah tewas dengan mereka.

Di Malaysia, majoriti pemain akan ‘melepak’ di kedai mamak dan mendedahkan diri mereka dengan pemakanan yang tidak baik.

Ini jelas sekali berbeza dengan pemain Jepun yang begitu patuh kepada diet pemakanan mereka.

Pembangunan

Tanya diri kita sama ada kita benar-benar bersedia untuk menjadikan bola sepak sebagai industri yang profesional atau tidak?

Cuba kita lihat, berapa banyak pasukan yang ada di satu-satu daerah atau kawasan? Adakah kita hanya mahu bergantung kepada pasukan berasaskan negeri semata-mata?

Bagaimana kita hendak menghasilkan lebih ramai pemain profesional di negara ini jika pasukan hanya berasaskan negeri semata-mata?

Mari kita bandingkan dua buah ibu negara iaitu Tokyo dan Kuala Lumpur. Di Tokyo sahaja mempunyai enam buah pasukan dan itu tidak termasuk bandar atau daerah lain di Jepun.

Sementara di Kuala Lumpur cuma ada Kuala Lumpur City sahaja sebagai pasukan profesional selebihnya hanyalah pasukan amatur yang dibina untuk bermain bola secara suka-suka sahaja.

Pengurusan

Di Malaysia, hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja pasukan yang mengamalkan pengurusan secara profesional.

Buktinya boleh dilihat dengan jelas menerusi fasiliti. Pasukan manakah selain JDT yang mempunyai fasiliti lengkap untuk pemain berlatih?

Itu belum disentuh pula bab kontrak, bagaimana pasukan lain selain JDT menguruskan pemain mereka?

Semuanya telah jelas, selama tiga dekad kita telah ditinggalkan oleh Jepun menerusi tiga aspek ini.

Namun apabila menilai dari aspek lain terutamanya penyokong, bola sepak Malaysia masih boleh bangkit menjadi pencabar utama di Asia kerana sokongan mereka tidak pernah luntur.

Industri bola sepak Malaysia mempunyai sokongan yang padu daripada peminatnya, cuma ia perlu ditadbir dengan baik oleh mereka yang profesional dalam bidang masing-masing dan bukannya diuruskan oleh pihak yang salah.

Nota editor: Artikel ini merupakan kiriman oleh Hafizuddin Selamat.

Kredit gambar: Harian Metro