Bilakah Bola Sepak Mula Dipertandingkan Di Sukan Olimpik? - Cyberlynx

Bilakah Bola Sepak Mula Dipertandingkan Di Sukan Olimpik?

Sukan Olimpik

Sukan Olimpik merupakan simbol kepada penyatuan dunia menerusi sukan.

Di temasya ini, pelbagai negara dari serata dunia berkumpul dan bertarung kekuatan sambil mengeratkan hubungan dalam pelbagai jenis sukan yang dipertandingkan.

Salah satunya adalah bola sepak.

Tahukah anda yang acara bola sepak di Sukan Olimpik telah dipertandingkan lebih awal berbanding Piala Dunia?

Jom kita baca mengenai sejarah bola sepak di saingan Olimpik.

Hanya untuk amatur

Menurut Football History, kali pertama acara bola sepak diperkenalkan adalah pada Sukan Olimpik adalah pada 1900 di Paris. Ketika itu ia dilangsungkan hanya melibatkan pemain amatur sahaja.

Untuk edisi pertama ianya hanya disertai oleh tiga pasukan sahaja yang bertaraf kelab iaitu Club Français (Perancis), Upton Park (Great Britain) dan Université de Bruxelles yang diwakili oleh pelajar dari sebuah universiti di Brussels, Belgium.

Upton Park menjadi pemenang acara bola sepak yang pertama dengan Club Français merangkul pingat perak dan gangsa untuk Université de Bruxelles.

Sukan Olimpik 1908 menyaksikan kali pertama acara bola sepak diadakan dengan penyertaan dari skuad kebangsaan.

Untuk edisi tersebut, terdapat enam pasukan iaitu Great Britain, Perancis A, Perancis B, Belanda, Denmark dan Sweden.

Great Britain menjadi negara pertama yang merangkul pingat emas dalam acara bola sepak selepas menewaskan Denmark 2-0.

Edisi 1912 menyaksikan buat pertama kalinya acara bola sepak diadakan dengan mengikut format kejohanan piala dengan 11 negara mengambil bahagian.

Tujuh pasukan yang tewas di dua pusingan pertama akan beraksi dalam pertandingan berasingan untuk merebut hadiah sagu hati sementara baki empat pasukan terbaik akan beraksi untuk merebut tiga pingat utama.

Great Britain sekali lagi menjadi pemenang pingat emas.

Penentangan oleh FIFA

Penyertaan acara bola sepak mula diluaskan kepada 24 pasukan serta wakil dari benua Amerika Selatan mula bertanding.

Pada 1924, Uruguay menjadi wakil Amerika Selatan yang pertama bertanding dalam acara bola sepak di Sukan Olimpik dan terus merangkul pingat emas.

Empat tahun kemudian, acara ini semakin digilai ramai tetapi ianya mengalami masalah kerana peraturan Sukan Olimpik sendiri yang hanya menerima penyertaan pemain amatur sahaja.

Peraturan tersebut jelas tidak disenangi oleh persatuan pemain bola sepak profesional dan beberapa hari sebelum saingan acara bola sepak di Sukan Olimpik 1928 bermula, FIFA menubuhkan kejohanan Piala Dunia.

Selepas penganjuran Piala Dunia yang melibatkan pemain profesional 1930, FIFA tidak menoleh ke belakang dan mereka terus mengadakan kejohanan bola sepak yang berasingan daripada Sukan Olimpik.

Dengan peningkatan bilangan pemain profesional dari seluruh dunia dari masa ke masa, reputasi Piala Dunia semakin meningkat dan ini membuatkan acara bola sepak di Sukan Olimpik mula merudum popularitinya.

Menari ikut rentak yang sama

Oleh kerana reputasi Piala Dunia yang terlalu kuat, akhirnya Sukan Olimpik memilih untuk ‘menari’ dengan rentak yang sama seperti FIFA apabila mula membenarkan penyertaan pemain profesional bermula temasya edisi 1984.

Walaupun begitu, bagi memastikan jurang antara pasukan utama dan kerdil tidak terlalu jauh, pihak FIFA dan Olimpik telah menetapkan satu peraturan khas untuk acara ini.

Untuk Sukan Olimpik, negara-negara yang menjadi ahli FIFA dan CONMEBOL (Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan) hanya dibenarkan meletakkan pemain yang tidak mewakili negara masing-masing di Piala Dunia sahaja.

Sementara bagi negara bukan ahli FIFA dan CONMEBOL, mereka boleh meletakkan skuad terkuat mereka.

Peraturan baharu mula dipakai pada Sukan Olimpik 1992 apabila mereka hanya membenarkan skuad B-23 tahun mengambil bahagian.

Penggunaan tiga pemain lebih umur seperti yang kita lihat pada hari ini hanya mula dipakai pada Sukan Olimpik 1996 dengan saingan bagi kategori wanita juga mula dimainkan pada temasya yang sama.

Kredit gambar: Facebook Olympics