Mengenali Sistem Nombor Jersi Dalam Bola Sepak - Cyberlynx

Mengenali Sistem Nombor Jersi Dalam Bola Sepak

Sistem Nombor Jersi

Dalam sukan bola sepak, nombor yang tertera pada jersi membawa maksud yang tertentu kepada si pemakainya.

Secara tradisinya sistem nombor dalam bola sepak membawa maksud kepada posisi pemain tersebut.

Jadi dalam pengisian hari ini, kami ingin menerangkan kepada anda asas sistem nombor jersi dalam bola sepak. Jom!

Sistem 1 hingga 11

Memandangkan pemain bola sepak hanya menggunakan 11 orang ketika perlawanan diadakan, nombor jersi yang dipakai adalah bernombor satu hingga sebelas.

Jersi nombor satu lazimnya diberikan kepada penjaga gol kerana pemain yang beraksi di posisi tersebut adalah yang pertama akan berada di barisan pemain.

Bola sepak berevolusi dari zaman ke zaman dari segi taktikal permainan dan juga formasi pemain.

Pada era 1920-an misalnya, formasi yang sering dipakai adalah 2-3-5 dan sistem nombor pada jersi pemain menunjukkan posisi masing-masing.

Sebagai contoh, jersi nombor satu diberikan kepada penjaga gol kerana mereka adalah pemain pertama yang akan memasuki padang.

Jersi nombor dua dan tiga pula diberikan kepada pemain yang beraksi di barisan pertahanan tengah.

Nombor dua diberikan kepada pemain pertahanan kanan sementara jersi bernombor tiga disarung pemain pertahanan kiri.

Oleh kerana ketika itu tiada lagi sistem pemain pertahanan tepi atau full back, pasukan lazimnya meletakkan pemain tengah bertahan atau defensive midfielder bagi memberikan perlindungan kepada pertahanan tengah.

Dari sini kiraan nombor untuk jersi diteruskan dengan pemain di posisi pemain tengah bertahan akan menyarung jersi bernombor empat, lima dan enam.

Nombor empat adalah bagi pemain di sebelah kanan, sementara nombor lima untuk pemain di bahagian tengah dan enam untuk yang beraksi di kiri.

Aturan bagi jersi bernombor tujuh, lapan, sepuluh dan sebelas adalah sama cuma dibezakan dengan posisi kiri dan kanan di atas padang sahaja.

Nombor tujuh adalah bagi pemain sayap kanan, dan sebelas bagi pemain sayap kiri.

Sementara jersi nombor lapan adalah untuk pemain tengah menyerang (attacking midfielder) sebelah kanan dan sepuluh bagi yang beraksi di sebelah kiri pula.

Jersi nombor sembilan adalah untuk penyerang utama atau center forward.

Bagaimana ianya berevolusi?

Sistem nombor mula berevolusi apabila posisi dalam bola sepak mula bervariasi seperti kemunculan tugas sebagai pemain pertahanan tepi atau full back.

Kemunculan formasi 4-4-2 juga telah memberikan pengaruh kepada perubahan siste nombor ini.

Sebagai contoh, pemain pertahanan tengah yang lazimnya menyarung jersi nombor dua dan tiga mula menyarung jersi bernombor empat dan lima.

Hal ini kerana, nombor dua dan tiga diberikan kepada pertahanan kanan dan pertahanan kiri.

Luke Shaw antara contoh pemain pertahanan kiri yang menyarung jersi nombor tiga. GAMBAR: UEFA EURO 2020

Jersi nombor enam adalah untuk pemain tengah bertahan atau yang beraksi sebagai pemain tengah (center midfielder).

Sementara perubahan berlaku untuk jersi nombor lapan yang sebelum ini adalah untuk pemain tengah menyerang sebelah kanan berubah menjadi untuk pemain tengah kotak ke kotak (box-to-box midfielder) atau sebagai pemain tengah.

Oleh kerana perubahan kepada jersi nombor lapan, tinggalah jersi nombor sepuluh sebagai penunjuk tunggal yang pemain yang menyarung nombor itu adalah pemain tengah menyerang.

Sistem nombor ini memberikan petunjuk kepada penonton, terutamanya yang masih baharu dengan sukan bola sepak mengenai tugasan dan posisi seorang pemain itu.

Ianya mengalami evolusi sehingga kini, dan sekarang nombor jersi tidaklah besar fungsinya pada zaman moden seperti sebelumnya.

Dalam bola sepak moden, ianya lebih kepada menunjukkan nombor kegemaran pemain tersebut atau kekosongan nombor jersi yang ada dalam sesebuah pasukan.

Kredit gambar: Unsplash