5 Pemain Paling Bernilai Bagi Musim 2020/2021 Menurut Ranking CIES - Cyberlynx

5 Pemain Paling Bernilai Bagi Musim 2020/2021 Menurut Ranking CIES

Ranking CIES

Musim bola sepak bagi kelab telah pun berakhir di Eropah dengan menyaksikan beberapa kejutan terhasil.

Antaranya seperti Inter Milan menamatkan dominasi Juventus di Serie A, Atletico Madrid menjadi johan La Liga sambil Chelsea menjulang kejuaraan Eropah.

Saingan pada musim 2020/2021 turut menyaksikan ramai pemain yang menonjol buat pasukan mereka.

Dengan prestasi memukau yang ditunjukkan, ianya telah membuatkan nilai mereka meningkat di pasaran.

Oleh itu, jom saksikan lima pemain paling bernilai pada musim 2020/2021 menurut ranking CIES Football Observatory.

5. Bruno Fernandes (Manchester United)

Kehadiran Fernandes ke Manchester United jelas sekali berjaya memberikan seri yang hilang kepada pasukan itu.

Kreativiti yang ada kepada pemain Portugal itu jelas sekali menghidupkan bahagian tengah United dan menghasilkan jentera serangan yang digeruni lawan.

Pengaruh yang diberikan oleh Fernandes kepada United cukup besar apabila beliau merakamkan 28 gol serta 17 bantuan gol (assist) dalam 58 penampilannya bersama kelab itu musim ini.

Hasilnya, beliau dinilaikan sebanyak £132 juta oleh CIES.

4. Erling Haaland (Borussia Dortmund)

Penyerang muda terhangat dari Borussia Dortmund ini terus mencuri tumpuan dunia dengan kepantasan serta ketajaman penyudah di hadapan pintu gol.

Prestasi beliau amat membanggakan di hadapan pintu gol apabila Haaland berjaya menyumbang 41 jaringan daripada 41 penampilannya bersama Dortmund dalam semua kejohanan.

Untuk rekod 27 gol terhasil daripada penampilannya dalam saingan Bundesliga.

Lebih manis, Haaland turut merangkul gelaran DFB-Pokal musim ini. Beliau dinilaikan sebanyak £134 juta oleh CIES.

3. Marcus Rashford (Manchester United)

Seorang lagi pemain dari United telah memasuki senarai dan kali ini adalah pemain England iaitu Marcus Rashford.

Beliau yang menjadi suri teladan di luar padang atas usaha kerasnya memerangi isu kelaparan dalam kalangan kanak-kanak mengharungi musim yang baik sebagai pemain sayap.

Menyumbangkan 21 gol daripada 57 penampilan, Rashford turut membantu rakan sepasukannya menjaringkan gol dengan menghasilkan 15 bantuan gol.

Beliau dinilaikan sebanyak £137 juta oleh CIES.

2. Mason Greenwood (Manchester United)

Ianya mungkin sedikit mengejutkan tetapi pemain muda England ini telah berjaya menduduki tangga kedua bagi carta yang dikeluarkan oleh CIES ini.

Mason Greenwood mempunyai musim yang baik untuk seorang pemain muda apabila berjaya memberikan sinar kepada masalah penyudah United dengan beberapa gol-gol penting yang dihasilkannya.

Musim ini, Greenwood menghasilkan 12 gol dan 6 bantuan gol dalam 52 penampilannya bersama The Red Devils.

Beliau dinilaikan sebanyak £153 juta oleh CIES.

1. Phil Foden (Manchester City)

Phil Foden mengharungi musim yang cukup hebat dalam kariernya sebagai pemain muda apabila berjaya merangkul kejuaraan berganda bersama Manchester City.

Pemain yang diberi gelaran sebagai Stockport Iniesta ini kini mula menjadi watak penting dalam skuad kendalian Pep Guardiola dengan Foden berjaya merakamkan 50 penampilan bersama Cityzen.

Untuk rekod, Foden menghasilkan 16 gol serta 10 bantuan gol musim ini sambil berjaya merangkul gelaran Premier League dan Carabao Cup.

Beliau dinilaikan sebanyak £163 juta oleh CIES.