5 Pemain Muslim Terbaik Yang Beraksi Di Premier League - Cyberlynx

5 Pemain Muslim Terbaik Yang Beraksi Di Premier League

Bola sepak merupakan permainan yang dimainkan oleh ramai orang dari pelbagai latar belakang.

Ada yang dari Asia, Afrika, Eropah. Ada yang berkulit cerah, gelap malah sawo matang.

Malah, tidak dinafikan sukan popular ini turut dimainkan oleh pemain dari pelbagai jenis anutan agama dan Islam salah satunya.

Oleh itu, mari kita saksikan lima pemain beragama Islam yang kini sedang menggoncang dunia dengan skil mereka.

Riyad Mahrez – Algeria

Mahrez merupakan antara pemain dari benua Afrika ketika ini yang begitu menarik perhatian peminat bola sepak dunia.

Mencipta sensasi bersama-sama Jamie Vardy ketika menjuarai Premier League pada 2016, nama Mahrez terus melonjak dengan Manchester City datang menyambarnya.

Selepas dari itu, beliau terus menujukkan kualitinya walaupun ada masanya terpaksa bersaing hebat dengan pemain-pemain lain di Etihad Stadium.

Sungguh pun begitu, ia tidak menghalang Mahrez dari terus menjadi nadi penting kepada skuad kebangsaan Algeria.

Pengaruhnya berjaya memberikan kejayaan buat negaranya apabila merangkul gelaran African Cup of Nations pada 2019.

Mohamed Salah – Mesir

Seorang lagi bintang bola sepak dari Afrika yang kini sedang mencipta nama di Liverpool. Mohamed Salah jelas sekali menjadi inspirasi kepada ramai pemain untuk berjaya dalam sukan ini.

Sering menunjukkan teladan yang baik sebagai seorang Muslim. Tidak hairan mengapa kadar Islamophobia di United Kingdom menurun kerana Salah!

Selain itu, beliau turut menjadi pemain yang bakal dikenang sebagai legenda moden Liverpool dengan berpuluh jaringan gol dihasilkannya untuk The Reds serta menjadi sebahagian skuad kejuaraan Premier League 2019/2020 mereka.

Caglar Soyuncu – Turki

Nama Caglar Soyuncu mungkin belum lagi sehebat Mahrez atau Salah namun pemain berusia 25 tahun ini cukup berbisa bersama-sama Leicester City.

Menjadi nadi penting di bahagian pertahanan The Foxes, Soyuncu merupakan pemain utama bagi skuad Brendan Rodgers dan pasangan pertahanannya iaitu Jonny Evans.

Beliau kini menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan Turki yang menarik perhatian ketika menewaskan Belanda dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022.

Dan jika prestasi bersama kelab terus meningkat, pastinya di masa hadapan nama beliau akan terus dipandang sebagai antara pertahanan terbaik pada era ini.

Ilkay Gundogan – Jerman

Gundogan merupakan antara pemain tengah elit dalam bola sepak dunia.

Mencipta nama di Borussia Dortmund sebelum ke Manchester City, Gundogan kini menjadi nadi penting kepada skuad Pep Guardiola terutamanya pada musim ini.

Gundogan tidak dikenali dengan jumlah jaringan gol yang banyak, namun pada musim ini beliau sudah menjaringkan 16 gol dalam semua kejohanan.

Lebih menarik, 12 daripadanya adalah dalam saingan Premier League. Rekod yang hebat untuk seorang pemain tengah!

Sadio Mane – Senegal

Selain Salah, Sadio Mane juga antara pemain bintang Liverpool yang juga merupakan seorang Muslim!

Datang dari perkampungan di Senegal, Mane mengejar impiannya untuk bermain bola sepak di Eropah dengan beraksi di beberapa kelab seperti Metz (Perancis) dan RB Salzburg (Austria).

Karier beliau mula mendapat perhatian apabila menyertai Southampton pada tahun 2014.

Hanya selepas dua tahun, pemain itu mula mendapat perhatian Liverpool dan kini menjadi nadi utama kepada serangan pasukan itu hingga kini.