Program Educating Athletes Sejajar Dengan Permintaan Industri Bola Sepak - Cyberlynx

Program Educating Athletes Sejajar Dengan Permintaan Industri Bola Sepak

Untuk menjadi seorang atlet yang lengkap, mempunyai skil yang tinggi saja tidak mencukupi. Sebaliknya mereka perlu disiapkan dengan ilmu pengetahuan yang tinggi supaya andai terjadi sesuatu kepada karier bermain mereka, masa depan tidak musnah begitu sahaja.

Itulah yang cuba dicipta oleh Kolej Antarabangsa Cyberlynx menerusi program Educating Athletes mereka.

Menerusi program ini, Cyberlynx menetapkan misi untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak negara yang berkualiti tinggi yang bukan sahaja dapat dilihat di padang, tetapi di luar padang juga.

Dengan memperkenalkan program pengajian bola sepak di peringkat diploma, Cyberlynx mahu menghasilkan pemain bola sepak yang holistik dari pelbagai aspek termasuklah mengenai industri bola sepak itu sendiri.

Diploma Pengajian Bola Sepak ini menfokuskan untuk mempersiap pelajarnya untuk berhadapan dengan cabaran di dalam industri sukan itu sendiri.

Mereka akan diajar mengenai pengurusan sektor bola sepak itu dari sudut perniagaan dan juga operasi. Malah, para pelajar juga akan didedahkan dengan pendidikan dari segi pengurusan kewangan, pengurusan, inovatif serta teknologi.

Program Educating Athletes ini sejajar dengan kemahuan industri bola sepak pada hari ini yang pesat membangun terutamanya di Malaysia.

Dengan bola sepak moden semakin mekar di negara kita lebih-lebih dengan Liga Malaysia kini memasuki era penswastaan, jadi amatlah perlu untuk pemain bola sepak terutamanya di peringkat remaja dipersiapkan dengan ilmu bola sepak yang merentasi dalam dan luar padang.

Program ini turut seiring dengan rangka tindakan Malaysian Football League (MFL) menerusi Next50 yang bertujuan untuk memajukan bola sepak negara dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Ia juga turut selari dengan misi Kementerian Belia & Sukan (KBS) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara sukan.

Program Diploma Pengajian Bola Sepak di Kolej Antarabangsa Cyberlynx ini merupakan pengajian berdurasi 2.5 tahun dengan pelajar diberi pilihan untuk menyertainya secara sepenuh masa atau mengambil kelas pada hujung minggu.

Kolej Antarabangsa Cyberlynx merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.