Peluang Untuk Cyberlynx FC Tonjol Bakat Di Liga M3 - Cyberlynx

Peluang Untuk Cyberlynx FC Tonjol Bakat Di Liga M3

Cyberlynx FC

Para pemain dari Akademi Pembangungan Bola Sepak Profesional Cyberlynx mempunyai peluang untuk menonjolkan bakat mereka dalam saingan Liga M3 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Bakal membawa cabaran buat pertama kali di liga divisyen tiga negara itu, ketua jurulatih iaitu Shahril Arsat berkata yang pendedahan yang bakal diterima oleh pemain adalah cukup baik buat mereka.

“Akan ada pemain pelapis yang kini berada di akademi Cyberlynx akan kami ambil untuk diserap masuk dalam pasukan.”

“Pada saya, ini adalah satu peluang yang baik kerana Cyberlynx telah menyediakan platform yang elok kepada mereka dengan bermain di Liga M3 yang dilihat sesuai untuk pendedahan pemain muda,” kata Shahril.

Walaupun akan ada pemain akademi yang menyertai pasukan, ia menjadi kepentingan untuk pasukan mempunyai beberapa pemain berpengalaman untuk mengimbangkan skuad.

“Pemain berpengalaman diperlukan bagi membantu kudrat muda ini sekali gus mengimbangkan pasukan apabila beraksi nanti.”

Selain menggunakan pemain dari akedemi Cyberlynx, skuad ini juga akan melakukan pemilihan terbuka mengikut zon di seluruh semenanjung Malaysia.

Pemilihan yang bermula di zon utara pada 12 dan 13 Mac yang lalu akan disambung pula di zon selatan (Johor, Melaka & Negeri Sembilan) pada 19 dan 20 Mac ini.

Ianya kemudiannya disambung untuk zon Timur pada minggu berikutnya dan berakhir di zon tengah pada awal bulan April tertakluk kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Musim 2021 merupakan musim sulung Shahril bersama Cyberlynx. Sebelum ini, beliau bersama-sama dengan pasukan seperti FELDA United dan Kuala Lumpur di peringkat Piala Presiden serta Piala Belia.