Mac & April Jadi Bulan Penting Cyberlynx FC Persiapkan Pasukan - Cyberlynx

Mac & April Jadi Bulan Penting Cyberlynx FC Persiapkan Pasukan

Bulan Mac dan April ternyata menjadi bulan yang penting buat skuad bola sepak Cyberlynx FC.

Hal ini kerana, ia menjadi detik buat Cyberlynx melakukan pencarian pemain bagi skuad M3 mereka.

Sebagai persediaan menjelang aksi saingan divisyen tiga negara yang bermula pada Jun, Cyberlynx telah menjelajah ke seluruh semenanjung Malaysia untuk mencari bakat yang bersesuaian.

Jelajah mencari bakat-bakat berpotensi bermula di utara dengan pencarian diadakan di Alor Setar, Kedah sebelum ke Permatang Rawa, Pulau Pinang pada 11 hingga 15 Mac yang lalu.

Dari utara, Cyberlynx meneruskan pencarian di zon selatan pada 18 hingga 23 Mac dengan pencarian dilakukan di Johor sebelum ke Melaka dan Negeri Sembilan.

Minggu seterusnya menyaksikan pencarian dilakukan di pantai timur dengan pemilihan dimulakan di Tanah Merah, Kelantan sebelum ke Kuala Terengganu.

Pencarian bagi zon pantai timur berakhir dengan pemilihan yang diadakan di Temerloh, Pahang.

Sesi pemilihan yang terakhir dilangsungkan di Perak pada 2 hingga 5 April dengan ianya diadakan di Stadium Mini Kerian dan juga Padang Banjerona FC di Ayer Tawar.

Pemilihan ini bukan sahaja memilih pemain untuk skuad Liga M3, tetapi turut mencari pemain berpotensi yang boleh diserapkan ke dalam program Student Athlete Cyberlynx.

Ianya kemudiannya menjadi pelajar Diploma Pengajian Bola Sepak.

Pemain-pemain yang diserap ke dalam program Student Athlete itu akan dilatih oleh jurulatih akademi Cyberlynx iaitu Hasmawi Hassan sementara bagi skuad Liga M3 pula Shahril Arsat bakal mengendalikan skuad tersebut.

Hasmawi dan Shahril turut berada pada sesi pemilihan yang diadakan untuk memantau pemain-pemain yang berpotensi.

Cyberlynx FC akan bertanding dalam Liga M3 bersama-sama pasukan lain seperti Real Chukai, Langkawi City FC dan juga MNY FC.